Saturday, March 7, 2009

karangan04- Suratman Markasan

Suratman Markasan sudah lama berkecimpung dalam bidang penulisan Melayu. Dia mahir sebagai seorang penulis cerpen, syair dan novel.

Suratman dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura pada 29 Disember 1930. Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang guru di beberapa buah sekolah menengah dan rendah di Singapura setelah menamatkan pengajian beliau di Sultan Idris Training College di Tanjung Malim, Perak pada tahun 1950.

Suratman menyambung pelajaran beliau di Universiti Nanyang pada tahun 1968 dan berjaya meraih Sarjana Muda Sastera dalam pengajian Melayu dan Indonesia. Dia juga pernah menjadi pensyarah di Institut Pendidikan Singapura, mengajar bahasa Melayu dan sastera.

Suratman mula bekerja sebagai seorang penulis di beberapa media cetak seawal 1950-an. Demi minat dan kecenderungannya kepada bidang penulisan Melayu, beliau telah berusaha dengan gigih sehinggakan hasilnya dicetak. Antologi cerpen "Temasik" dan antologi sajak "Tiga Warna Bertemu" merupakan dua karyanya yang pertama dicetak. Karya ini juga merupakan buku-buku Singapura yang pertama diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Beliau telah banyak menyumbang kepada masyarakat dalam mengharumkan nama Melayu di kalangan orang ramai. Bukan sahaja dalam konteks Singapura tetapi juga sedunia. Dia pernah mengambil bahagian dalam acara-acara membaca puisi di merata tempat seperti Osaka, London, Paris, Jerman, San Francisco dan Ohio. Dia juga memberi imej yang sempurna dan merupakan idola yang positif kepada para pemuda Melayu. Beliau mempamerkan bagaimana orang Melayu sepatutnya berperilaku. Dia berjaya menanam perasaan cinta pada bahasa Melayu kepada kebanyakkan yang pernah membaca karyanya. Dengan cara yang halus dan ikhlas, beliau dapat meperkukuhkan lagi masa depan bahasa Melayu supaya tidak pupus dibuai masa.

Suratman Markasan mendukung prinsipnya bahawa bahasa Melayu dan Sasters merupakan sesuatu ibadah yang harus dilaksanakan. Beliau mempunyai perasaan hormat yang tidak terhingga kepada bahasa kita ini. Melalui karyanya, dia menceritakan tentang erti kehidupan, kesengsaraan dan kebahagiaan yang wujud dalam setiap hayat. Dia menyedarkan orang ramai tentang realiti yang kadang-kala diambil ringan. Dengan karyanya, dia dapat meningkatkan kesedaran masyarakat akan persoalan-persoalan yang perlu ditangani.

No comments:

Post a Comment